Pusat Industri Pertahanan Negara

 Atas kesibukan dalam urusan seharian, saya sudah lama tidak update blog ni, jadi masa terluang ini saya akan memberi pandangan saya tentang berita dibawah:


KUALA LUMPUR - Kerajaan yakin pusat industri pertahanan pertama negara yang bakal dibangunkan di Sungkai, Perak, mampu meraih jumlah pelaburan bernilai RM15.3 bilion dalam masa lima tahun selepas ia mula beroperasi pada 2014.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, keyakinan itu berdasarkan jangkaan awal jumlah pelaburan bagi tahun pertama iaitu sebanyak RM3.3 bilion ekoran minat mendalam yang ditunjukkan oleh syarikat pertahanan antarabangsa.
"Ia satu komitmen antarabangsa dan setakat ini penglibatan syarikat-syarikat pertahanan dari Eropah, Amerika Utara, Korea Selatan dan Jepun memperlihatkan petanda yang baik. Jangkaan awal jumlah pelaburan sebanyak AS$ 1 bilion (RM3.3 bilion) akan dapat dilihat dalam waktu terdekat.
"Bagi tempoh lima tahun pertama, kita sasar pelaburan berjumlah AS$ 5 bilion (RM15.3 bilion) sebaik syarikat multinasional mula melabur," katanya selepas menyaksikan perjanjian persefahaman antara Masterplan Consulting Sdn. Bhd. dengan Blenheim Capital di sini hari ini.
Perjanjian persefahaman antara Masterplan dan syarikat pertahanan dari United Kingdom (UK) itu bagi membangunkan pusat industri pertahanan tempatan di kawasan seluas 480 hektar, agar ia berupaya memacu sektor berkenaan sekali gus meletakkan Malaysia sebagai hab pertahanan ASEAN.
Hadir sama ialah Panglima Tentera Darat, Jeneral Datuk Seri Zulkifeli Mohd. Zin; Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Jaafar; Ketua Pegawai Eksekutif Masterplan, Datuk Ahmad Faris Abdul Halim dan Ketua Pegawai Eksekutif Blenheim, Grant Rogan.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, kos bagi membangunkan pusat industri pertahanan itu berjumlah RM6 bilion dan dijangka, kerja-kerja pembinaan akan dilaksanakan selepas operasi kerja tanah dimulakan pertengahan tahun depan.
Sementara itu, Rogan berkata, beliau yakin dengan potensi Sungkai untuk menjadi pusat industri serta hab pertahanan serantau memandangkan semua pihak yang terlibat dalam menjayakan projek tersebut mempunyai komitmen jitu.
Katanya, Blenheim dengan kerjasama Masterplan akan berusaha sebaik mungkin bagi menarik minat syarikat pertahanan terkemuka Eropah dan Amerika Syarikat (AS) untuk melabur dalam pelbagai segmen pertahanan dalam masa terdekat.
Dalam perkembangan lain, Ahmad Zahid berkata, pengurangan peruntukan untuk Kementerian Pertahanan kepada RM9.1 bilion tahun ini, berbanding RM9.8 bilion tahun lepas tidak akan menjejaskan operasi kementerian dalam menjaga kepentingan dan keselamatan negara.
Ahmad Zahid berkata, biarpun tanpa pembelian sebarang aset baru tahun ini, pihaknya akan melakukan beberapa pembangunan terhadap operasi berdasarkan kemampuan kewangan yang ada.

          Sebagai contoh katanya, kementerian akan melaksanakan program penghayatan semula ke atas inventori pelbagai jenis peluru dalam perkhidmatan termasuk yang melibatkan aset sensitif seperti peluru berpandu.
"Menyedari hakikat belanjawan tahun ini dikurangkan, tentu sekali ia akan menjadi kekangan kepada aktiviti yang sudah dirancang namun ia tidak akan dapat mengurangkan daya juang serta daya saing pasukan pertahanan kita," katanya selepas menghadiri majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Pertahanan di sini hari ini.
Hadir sama pada majlis itu Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Dr. Abdul Latif Ahmad; Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Dr. Ismail Ahmad; Panglima Angkatan Tentera (ATM), Jeneral Tan Sri Azizan Ariffin serta ketiga-ketiga panglima daripada perkhidmatan tentera laut, darat dan udara.


         Pusat yang akan dibangunkan ini kelihatan seperti satu usaha kerajaan untuk menggalakkan perkembangan industri pertahanan di negara kita. Sekian lama kita nantikan akhirnya kerajaan dapat merealisasikan impian yang selama ini kita idamkan. Bercakap mengenai industri pertahanan, sejauh manakah perkembangannya di Malaysia??? seperti yang kita ketahui, Singapura dan Indonesia telah lama mengorak langkah untuk memajukan industri pertahanan masing-masing. Hasilnya banyak produk-produk pertahanan dari kedua-dua negara itu diperkenalkan, dengan kewujudan firma-firma pertahanan seperti ST Marine, ST Aerospace (Singapura), PT Pindad, PT DI (Indonesia) dan lain-lain  kedua-dua negara ini sedikit demi sedikit mula menunjukkan kemampuannya untuk menghasilkan produk-produk pertahanan bukan sahaja untuk kegunaan angkatan tentera negara sendiri bahkan untuk dieksport kepada negara-negara lain seperti produk Warthog yang berjaya dijual kepada Britain dan APC Anoa yang berjaya dibeli oleh Malaysia (untuk kegunaan pasukan pengaman di Lubnan). Ini membuktikan bahawa produk-produk pertahanan negara-negara tersebut mula diminati dan mula menjadi perhatian negara-negara serantau bahkan dunia amnya. 

         Persoalannya, sampai bilakah Malaysia ingin menjadi Pembeli kepada produk-produk pertahanan luar tanpa mempunyai keinginan untuk menghasilkan produk tempatan????. Masalah utama firma-firma pertahanan di Malaysia ini adalah tidak diberi kepercayaan sepenuhnya oleh kerajaan untuk membangunkan produk tempatan, hanya baru-baru ini kerajaan telah menghantar Letter of Intent kepada Deftech untuk membina prototype pertama APC buatan Malaysia yang akan digunakan untuk menggantikan Condor dan Sibmas yang telah dimamah usia. BHIC pula diberi Leter of Intent untuk membina 6 buah kapal peronda generasi kedua SGPV untuk TLDM. Tetapi kepercayaan yang diberi ini sering mendapat bantahan daripada pihak-pihak yang seolah-olah tidak senang dengan tawaran daripada kerajaan kepada firma tempatan dan kononnya kos pembangunan terlalu tinggi serta mempersoalkan tentang ketelusan seolah-olah semua yang dibangunkan mempunyai elemen-elemen  "red tape" dalam perlaksanaannya. Apakah ini semua pandangan-pandangan jahat yang cuba dilemparkan kepada projek pembangunan produk-produk pertahanan tempatan untuk merencatkan hasrat kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai salah satu Hub pertahanan serantau????.       

      Pandangan-pandangan jahat seperti ini akan memberikan suasana dan satu keadaan yang tidak sihat kepada perkembangan industri pertahanan negara. Seharusnya semua pihak tidak patut melemparkan pandangan-pandangan atau tohmahan jahat yang kununnya semua projek pembangunan industri ini ada kaitan dengan penyelewengan oleh kerana kos yang dirasaan pihak tersebut sebagai tidak masuk akal. Perlu diingat bahawa setiap proses pembangunan perlukan sundikan kos yang besar untuk mendirikan fasiliti, melakukan R&D, menguji keberkesanan produk, sehinggalah peringkat pengeluaran dn penyelenggaraan. 
        
         Cuba kita rujuk kembali proses pembangunan peralatan-peralatan tempur seperti F-22, F-35JSF dan lain-lain semuanya memerlukan kos yang tinggi. Mungkin ada diantara kita akan menyanggah dengan mengatakan bahawa firma tempatan hanya mengintegrasikan sistem persenjataan sahaja dan bukan mencipta sesuatu yang baru, perlu diingat walaupun mengintegrasikan sistem persenjataan, kita masih perlu modal untuk R&D dan modal untuk mendirikan dan menaiktaraf fasiliti sediada untuk menyokong kerja-kerja integrasi itu yang semestinya memenuhi keadaan Negara dan kehendak ATM sendiri, jadi tidak timbul soal "red tape" disini. 


            Saya ingin mengajak rakyat Malaysia tanpa mengira latar belakang politik dan keturunan, ayuh kita menyokong industri pertahanan tempatan dan diharapkan agar industri ini akan menjadi lebih maju dimasa hadapan.