Excocet MM38 buktikan keupayaan armada TLDM
KUALA LUMPUR: Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) membuktikan keupayaan armadanya apabila penembakan misil jenis Exocet MM38 dilancar KD Gempita, tepat mengenai sasaran dalam ujian di perairan utara Selat Melaka, berdekatan Perak, kelmarin.
Misil ditembak dari kapal Kelas Penyerang Laju (FAC-M) buatan Sweden di bawah pemerintahan Leftenan Komander Md Zaman Hassan itu, memusnahkan sasaran terapung iaitu tongkang berukuran 40 meter yang memuatkan enam kontena bersaiz 12 meter di lokasi ujian jam 10.30 pagi.
Impak letupan misil seberat 735 kilogram (kg) serta 5.21 meter panjang dan berdiameter 35 sentimeter (sm) yang mempunyai bahan peledak seberat 165 kg itu menyebabkan empat kontena musnah dan tercampak ke laut.
Menurut kenyataan TLDM semalam, tembakan itu adalah aktiviti kemuncak Eksesais Latihan Pengoperasian Laut (OSTEX) iaitu latihan di laut bagi beberapa kapal TLDM.
“Jarak maksimum bagi misil ini melebihi 40 kilometer (km). Bagaimanapun, penembakan kali ini dibuat pada jarak melebihi 20 km bagi mengurangkan risiko keselamatan pada bot nelayan di perairan berkenaan.
“Walaupun TLDM terpaksa mengoperasikan kapal dan misil yang telah menjangkau hayat melebihi 30 tahun, kejayaan penembakan ini memperkukuh dan membuktikan bahawa Armada TLDM yang terbabit dalam perancangan dan pelaksanaan penembakan, sentiasa dalam keadaan siaga dan terlatih,” kata kenyataan itu.
Exocet MM38 diperoleh TLDM pada 1978 adalah jenis peluru berpandu permukaan ke permukaan yang mampu memusnahkan pelbagai jenis sasaran permukaan termasuk kapal bersaiz besar.
Misil itu digeruni apabila kapal Argentina yang menggunakan sistem persenjataan ini berjaya menenggelamkan dua kapal Tentera Laut British dalam Peperangan Falklands pada 1982.
Kini TLDM memiliki beberapa jenis misil termasuk MM40 di kapal frigat TLDM dan terkini SM39 yang dilengkapi di kedua-dua kapal selam KD Tunku Abdul Rahman dan KD Tun Razak yang boleh dilancarkan dari bawah laut ke permukaan.
Kenyataan TLDM turut menyebut, pasukan itu buat pertama kali menggabungkan tiga aktiviti serentak iaitu dua siri latihan OSTEX berserta aktiviti penembakan dilakukan dalam tempoh latihan yang menjimatkan 60 peratus kos operasi.
“Kejayaan ini juga dapat melatih warga TLDM dalam pengendalian misil merangkumi aspek perancangan latihan, penyediaan dan penyelenggaraan, melaksanakan penembakan sehingga ke proses menganalisis data apabila selesai penembakan,” katanya.
0 comments:
Post a Comment