Malaysia modal paling popular kempen Pilihan Raya Presiden Indonesia

BERDASARKAN pada kedudukan geografi, Malaysia tidak dapat memilih siapakah jirannya. Negara ini bersempadan dengan beberapa buah negara iaitu Singapura, Indonesia, Thailand dan Filipina.
Sudah menjadi kebiasaan orang paling terdekat yang sering mendatangkan masalah dan pada masa yang sama sangat diperlukan apabila dalam kesusahan.
Malaysia tentunya tidak menghadapi masalah dengan Costa Rica atau Mexico, kerana kedua-dua buah negara itu terletak jauh dari negara kita. Tetapi hubungan kita dengan negara jiran terutama Indonesia sering menjadi panas kerana pelbagai isu yang berpanjangan.
Isu-isu yang tidak kunjung selesai itu pula muncul secara bermusim dan kini ia muncul kembali ketika musim Pilihan Raya Indonesia. Maka sekali lagi Malaysia dijadikan mangsa untuk mencari populariti di kalangan calon yang bertanding.
Tiba-tiba sahaja isu Ambalat ditimbulkan kembali oleh Indonesia walaupun kedua-dua buah negara telah bersetuju untuk menyelesaikan di meja rundingan melalui jawatankuasa teknikal yang telah ditubuhkan.
Malaysia dituduh mencerobohi perairan di Ambalat, walaupun perbatasan di kawasan laut itu belum diputuskan.
Lantas para calon yang bertanding untuk Pilihan Raya Presiden Republik Indonesia terus memberi komen masing-masing dengan harapan mendapat perhatian pengundi mereka.
Perkara itu diakui sendiri oleh seorang pengamat politik tempatan, Profesor Dr. Hermawan Sulistyo dalam satu majlis diskusi yang diadakan di Jakarta baru-baru ini.
Menurut beliau isu itu sengaja dibangkitkan bagi membolehkan calon tertentu meraih populariti.
Calon yang paling banyak mengeskploitasi isu itu tentulah Jusuf Kalla dan Megawati Soekarnoputri kerana mereka bukannya presiden dan bebas memberi sebarang komen tanpa memberi kesan kepada hubungan kedua-dua buah negara.
Bagi Susilo Bambang Yudhoyono pula isu itu merupakan satu perangkap dan permainan politik.
Jusuf Kalla dan Megawati mudah sahaja bagi mereka untuk memberi komen, termasuk mengeluarkan ancaman perang ke atas Malaysia.
Sebaliknya Susilo yang merupakan Presiden Indonesia, beliau perlu menjawab dengan berhati-hati kerana apa juga bicaranya dikira sebagai dasar yang diamalkan oleh Indonesia.
Oleh sebab sikap berhati-hati yang diambil beliau itu, Susilo terus dicap sebagai seorang pemimpin lembam dan tidak berkeyakinan oleh lawannya.
Jadi isu itu terus dipanaskan dengan siri demonstrasi di hadapan Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta, sehingga terdapat kumpulan yang menawarkan diri untuk terjun ke kawasan Ambalat demi mempertahankan Indonesia kerana menyangka ia sebagai sebuah pulau.
Untuk makluman, Ambalat sebenarnya adalah singkatan kepada perkataan 'Ambang Batas Lautan' dan oleh kerana sudah menjadi kebiasaan di Indonesia untuk meringkaskan perkataan yang panjang maka istilah itu diringkaskan menjadi Ambalat.
Jusuf Kalla yang menyedari isu hubungan dua buah negara mendapat perhatian rakyat telah menggunakan isu yang sama dalam iklan kempennya iaitu meminta rakyat Indonesia memilih beliau jika mahu negara berkenaan menjadi lebih baik daripada Malaysia.
Megawati pula dalam pusingan akhir debat calon presiden juga membangkitkan isu Ambalat yang kononnya pencerobohan di wilayah itu kerana Malaysia menganggap Indonesia tidak tegas dalam mempertahankan kedaulatan sempadan negaranya.
Melihatkan situasi itu, kerajaan dan rakyat Malaysia tidak harus melatah dengan isu yang timbul secara bermusim, kerana ia lebih kepada permainan politik dan bukannya dasar dalam hubungan bilateral Malaysia-Indonesia.
Sebenarnya selepas jatuhnya pemerintahan Orde Baru dan kini masuk zaman Reformasi, Indonesia masih tercari-cari tapak untuk dijadikan asas kepada segala aspek termasuklah politik dan ekonomi.
Namun harus diingat walaupun para pemimpin politik serta pemerintahan negara silih berganti, tetapi Malaysia dan Indonesia akan tetap berjiran dan kita tidak mempunyai pilihan. Oleh itu jadilah jiran yang baik demi kesejahteraan bersama.

(adapted form utusan)

0 comments:

Post a Comment