Penembakan Misil Aspide Oleh KD Laksamana Hang Nadim


Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) sekali lagi berjaya membuktikan kesiagaan dan keupayaan armada TLDM sejak penubuhannya 75 tahun yang lalu dalam aspek peperangan anti-udara dengan kejayaan penembakan Misil Anti-Udara ASPIDE di perairan Selat Melaka awal pagi tadi.  Misil ASPIDE telah dilancarkan dari salah sebuah kapal dari skuadron kapal-kapal penyerang iaitu KD LAKSAMANA HANG NADIM(134). Misil yang dilancarkan tepat mengenai serta memusnahkan sasaran udara yang ditunda oleh sebuah pesawat jenis LearJet.   Kenyataan akhbar yang dikeluarkan oleh Markas Armada TLDM berkata, dalam usaha penjimatan kos latihan penembakan, TLDM telah mengambil pendekatan dengan melaksanakan aktiviti penembakan ini bersampingan dengan siri latihan "Perang Pangkor" iaitu latihan operasi mingguan yang sedia ada.  Latihan ini adalah sejajar dengan konsep pengoperasian aset tempur TLDM, iaitu sentiasa terlatih dan siaga untuk digerakkan bilamana diperlukan.
Kejayaan penembakan misil ASPIDE yang berfungsi sebagai perluru berpandu permukaan ke udara ini telah membuktikan bahawa armada TLDM sentiasa bersiap sedia dalam menangani sebarang ancaman terutamanya peperangan anti udara iaitu salah satu dari empat dimensi peperangan maritim masa kini.  Misil ASPIDE adalah antara misil anti udara yang dimiliki oleh TLDM bagi melengkapkan sistem persenjataan kapal-kapal dari kelas Laksamana yang kini telah manjangkau usia 26 tahun. Walaupun begitu, keupayaan KD LAKSAMANA HANG NADIM terbukti dengan kejayaan penembakan pagi tadi.
Misil tersebut berupaya melakukan pandu tuju melalui radar semi-aktif dengan ketepatan yang tinggi dan boleh mencapai jarak maksimun 20 km dengan kelajuan 600 meter sesaat.  ASPIDE adalah sistem misil Itali yang dibangunkan dari sistem misil Amerika Syarikat AIM-7E Sparrow, yang mana paling sesuai digunakan bagi penembakan udara ke udara dan permukaan ke udara. Misil ini telah mula digunakan pada tahun 1987.   Kejayaan penembakan ini juga dilihat menunjukkan keupayaan sistem persenjataan kapal milik TLDM. Di samping itu, ia turut membuktikan kemampuan anggota TLDM dan firma tempatan yang terbabit dalam penyelenggaraan sistem tersebut.  Penembakan ini turut melibatkan unit-unit dan aset-aset lain di dalam TLDM yang bertanggungjawab dalam menyedia, merancang dan melaksanakan tugas secara berpasukan.  Antara unit dan aset lain yang terlibat dalam siri latihan kali ini ialah KD SRI INDERAPURA, KD PERAK, KD LAKSAMANA TUN ABDUL JAMIL, KD LAKSAMANA TAN PUSMAH, helikopter FENNEC, bot CB90, Bahagian Penguasa Ujian dan Penilaian Sistem Persenjataan dan juga Depot Peluru dan Letupan TLDM. Institut Penyelidikan Sains dan Teknologi Pertahanan (STRIDE) juga terlibat dalam aspek analisis serta penyelidikan pertahanan dalam penembakan ini.  Secara keseluruhan, kejayaan penembakan ini telah memperkukuhkan tahap kompetensi operasi dan kesiagaan armada TLDM. TLDM sebagai barisan hadapan pertahanan negara sentiasa bersedia menangani setiap konflik yang bakal berlaku di perairan negara.  Pertambahan aset baru seperti Kapal Ronda Generasi Baru dan kapal selam akan menambahkan lagi keupayaan TLDM sekali gus menjadikan TLDM antara tentera laut yang disegani dirantau ini.   Panglima Armada, Laksamana Madya Dato’ Ahmad Kamarulzaman bin Haji Ahmad Badaruddin turut bersama-sama dalam siri latihan ini dan menyaksikan penembakan pagi tadi.

0 comments:

Post a Comment